Aksi kedua Kelayakan Piala Asia 2027 antara Harimau Malaya dan Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada 10 Jun ini dijangka berlangsung dalam suasana meriah apabila lebih 40,000 tiket telah pun terjual setakat ini.
Perkara itu dimaklumkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), menunjukkan lonjakan ketara berbanding hanya 11,000 tiket yang terjual pada 3 Jun lalu. Angka ini juga mengatasi kehadiran penyokong semasa aksi Malaysia menentang Singapura dalam Kejuaraan ASEAN 2024, yang mencatat 31,127 orang pada Disember tahun lalu.
Jurulatih Harimau Malaya, Peter Cklamovski turut menyeru para penyokong untuk memenuhi stadium bagi memberi semangat kepada skuad negara.
“Tiada yang lebih baik daripada stadium yang penuh… Saya merayu kepada semua penyokong dan berharap semua Ultras dapat bersatu. Mereka (pemain) akan berikan segalanya atas padang untuk menghantar anda semua pulang dengan gembira bersama kemenangan,” kata Cklamovski.
Malaysia kini mengintai kemenangan kedua dalam Kumpulan F setelah menewaskan Nepal 2-0 dalam perlawanan pembukaan pada Mac lalu. Kehadiran penyokong yang ramai dijangka menyuntik motivasi tambahan buat Harimau Malaya dalam misi menundukkan Vietnam.
