Ahad, Oktober 4, 2026

Tangan Tersangkut Dalam Mulut Teman Lelaki, Eksperimen Lawak Bertukar Derita

Seorang wanita di Jilin, China mengalami detik mencemaskan dan menyakitkan apabila tangannya tersangkut dalam mulut teman lelakinya gara-gara mahu merakam video lucu. Pasangan itu cuba menguji sama ada tangan wanita tersebut cukup kecil untuk muat ke dalam mulut pasangannya — namun, eksperimen itu bertukar tragedi mini apabila rahang lelaki itu tiba-tiba terkunci akibat kekejangan otot.

Usaha berulang kali untuk mengeluarkan tangan tersebut gagal, malah situasi menjadi lebih buruk apabila lelaki berkenaan mengeluarkan air liur tanpa henti dan wajahnya menjadi merah padam. Gigi yang menggigit pergelangan tangan wanita itu akibat kekejangan menyebabkan si gadis menyamakan situasi itu seperti “tangan masuk dalam mesin pengisar daging.”

Akhirnya, mereka mendapatkan rawatan kecemasan di hospital. Dr Zhang Mingyuan yang merawat kes itu menjelaskan bahawa otot rahang lelaki tersebut mengecut terlalu kuat sehingga menyukarkan mulut untuk dibuka. Bimbang risiko tersedak atau muntah, pasukan perubatan menenangkan lelaki itu dengan muzik lembut sebelum menggunakan pembuka mulut khas dan menyuntik ubat pelega otot.

Selepas kira-kira 20 minit, tangan wanita itu berjaya dikeluarkan. Dr Zhang memberi amaran bahawa perbuatan memaksa seseorang membuka mulut secara paksa boleh menyebabkan kecederaan serius seperti kerosakan saraf atau terkehel rahang.

Insiden pelik ini mencetuskan tular di media sosial China selepas gambar pasangan itu di bilik kecemasan tersebar luas — sekaligus menjadi peringatan bahawa tidak semua eksperimen “content” berbaloi untuk dilakukan.

artikel berkaitan

ARTIKEL TERBARU