Malaysia kini giat memperkukuh hubungan dagang dan teknologi dengan negara-negara BRICS (Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan) bagi mempelbagaikan pasaran eksport serta mengurangkan kebergantungan terhadap Amerika Syarikat dan kuasa Barat.
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong, berkata fokus utama ialah sektor semikonduktor dan teknologi tinggi yang menjadi pemacu pertumbuhan baharu ekonomi negara.
Beliau menjelaskan Malaysia sedang memuktamadkan beberapa MoU dengan Brazil dan India melibatkan pelaburan dua hala dalam industri teknologi, selain memperluas kerjasama dengan Bangladesh dan Pakistan sebagai pasaran baharu berpotensi tinggi.
Chin Tong turut memaklumkan bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan lawatan rasmi ke Afrika pada November ini bagi memperkukuh kerjasama serantau dalam pemindahan teknologi dan latihan kemahiran.
Langkah ini, katanya, sejajar dengan visi Ekonomi Madani yang menekankan daya tahan, inovasi dan kerjasama global berasaskan keadilan serta kemampanan.
