Selasa, November 4, 2025

Vieira Akui JDT Kini Lebih Kuat, Buriram Sedia Hadapi Cabaran

Pengendali Buriram United, Osmar Loss Vieira, mengakui bahawa Johor Darul Ta’zim (JDT) yang bakal dihadapi dalam pusingan 16 Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) adalah pasukan yang jauh berbeza berbanding pertemuan terakhir mereka.

Kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu adalah pada 3 Disember 2024 di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), di mana perlawanan berakhir dengan keputusan 0-0. Aksi tersebut menyaksikan ketegangan memuncak dengan tiga pemain dilayangkan kad merah, termasuk kapten Buriram, Theerathon Bunmathan.

Namun, selepas itu Harimau Selatan memperkuatkan pasukan dengan merekrut beberapa pemain berpengalaman dari Eropah, termasuk Alvaro Gonzalez, Jonathan Vieira, Anselmo Moraes, dan Samu Castillejo. Vieira sedar perubahan ini akan menjadikan cabaran lebih sukar buat Buriram.

“Setiap perlawanan ACLE berbeza, lebih-lebih lagi dalam musim yang sama. Ketika kami beraksi di Malaysia sebelum ini, keadaannya berbeza dan sekarang juga berbeza. Seperti mereka membawa pemain baru, kami juga membawa pemain baru,” katanya dalam sidang media pra-perlawanan.

Buriram United akan menanti kunjungan JDT di Stadium Buriram pada 4 Mac, sebelum bertandang ke SSI untuk aksi timbal balik pada 11 Mac. Dengan kedua-dua pasukan semakin mantap, pertembungan ini dijangka berlangsung sengit dalam usaha merebut tiket ke suku akhir ACLE.

artikel berkaitan

ARTIKEL TERBARU