Malaysia mencatat sejarah apabila berjaya tersenarai dalam kelompok 10 negara terbaik Asia berdasarkan Ranking Pertandingan Kelab Pertengahan Musim 2024/25 yang dikeluarkan oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).
Dengan kutipan 39.8 mata, Malaysia kini berada di tangga ke-10, mengatasi Iraq dan Australia yang masing-masing menghuni kedudukan ke-11 dan ke-12. Pencapaian ini didorong oleh kejayaan Johor Darul Ta’zim (JDT) yang mara ke pusingan 16 Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) serta penyertaan Selangor FC dalam peringkat kumpulan ACL2. Ini merupakan kemunculan pertama Selangor di pentas Asia sejak 2016.
Namun, Malaysia masih dibayangi Thailand yang berada di kedudukan kelapan dengan 53.1 mata. Kejayaan Buriram United melangkah ke pusingan 16 ACLE serta tiga kelab lain – Port FC, Bangkok United, dan Muangthong United – yang mara ke pusingan 16 ACL2, membantu Thailand meraih kedudukan lebih tinggi.
Di rantau Asia Tenggara, Vietnam menghuni tangga ke-14 dengan 34.5 mata, Singapura di kedudukan ke-18 dengan 25.5 mata, manakala Indonesia berada di tempat ke-25 dengan 18.2 mata.
Ranking keseluruhan masih dikuasai oleh Arab Saudi di tangga pertama, diikuti Jepun dan Korea Selatan di tempat kedua dan ketiga.
Kejayaan ini membuktikan bola sepak Malaysia semakin berkembang di peringkat Asia, dengan JDT dan Selangor FC menjadi pemacu utama dalam meningkatkan kedudukan negara di ranking kelab AFC.
