Bekas penyerang Harimau Malaya, Nizaruddin Yusof yakin Johor Darul Ta’zim (JDT) mampu melakar kejayaan lebih besar dalam Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE). Kejayaan mara ke pusingan 16 terbaik membuktikan Harimau Selatan berada di landasan tepat untuk mencipta sejarah dalam bola sepak Asia.
Persiapan rapi dilakukan menjelang pertembungan dengan Buriram United, termasuk merekrut beberapa pemain baharu berkualiti tinggi. Kehadiran bekas bintang A.C Milan, Samu Castillejo serta penyerang berbisa, Anselmo Moraes, dijangka memberikan JDT kelebihan besar untuk memperkukuhkan barisan serangan mereka.
Menurut Nizaruddin, langkah JDT menambah pemain import adalah strategi bijak TMJ untuk memastikan pasukan terus bersaing di peringkat tertinggi. Beliau percaya kombinasi pengalaman pemain sedia ada dengan tenaga baharu ini akan menjadikan JDT lebih ampuh.
Selain itu, faktor prestasi konsisten dalam liga turut memberi kelebihan kepada skuad kendalian Hector Bidoglio. Dengan kualiti taktikal yang semakin mantap dan pemain yang mampu mengikut falsafah permainan pasukan, JDT dilihat lebih bersedia untuk berdepan cabaran sengit daripada Buriram United.
JDT akan beraksi di Stadium Buriram pada 4 Mac sebelum melayan kunjungan wakil Thailand itu di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) pada 11 Mac. Aksi di laman sendiri pasti memberi kelebihan buat JDT untuk memastikan tiket ke suku akhir ACLE dalam genggaman.
Dengan persiapan yang semakin kukuh dan semangat juang tinggi, Harimau Selatan bersedia untuk menggegar pentas bola sepak Asia sekali lagi.
