Sabtu, Oktober 3, 2026

Tunku Ismail Selar Pihak Tidak Puas Hati Dengan Kejayaan JDT

Pemilik Kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), DYAM Tunku Ismail, menyelar tindakan segelintir pihak yang masih tidak berpuas hati dengan kejayaan yang diraih oleh pasukannya.

JDT baru-baru ini mencatat kemenangan penting 2-1 ke atas Central Coast Mariners dalam saingan AFC Champions League Elite (ACLE), hasil dua jaringan daripada bintang baharu Sepanyol, Alvaro Gonzalez. Kemenangan ini bukan sahaja mengukuhkan kedudukan JDT dalam kejohanan, malah turut menyumbang mata penting kepada Malaysia dalam AFC MA Ranking, membantu negara melonjak dua tangga ke atas Australia dan Vietnam.

Namun, kejayaan ini masih menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan sesetengah pihak. Tunku Ismail memberikan respon tegas, menegaskan bahawa JDT adalah satu-satunya kelab dari Malaysia yang bersaing di kejohanan Asia, dan pencapaian ini seharusnya dibanggakan.

“Kitalah satu-satunya kelab. Patutnya yang ada berasa bangga kita mewakili negara (Malaysia), Asia Tenggara dan memberi sumbangan dalam AFC MA Ranking,” tulisnya dalam hantaran Instastory.

Sebaliknya, terdapat pihak yang mendesak agar JDT meninggalkan Liga Malaysia, dengan alasan pasukan itu menjadikan saingan liga kurang kompetitif. Menjawab perkara itu, Tunku Ismail menegaskan bahawa kelemahan liga bukan berpunca daripada JDT, sebaliknya disebabkan kegagalan pengurusan kelab lain dalam menguruskan pasukan mereka secara berkesan.

“Ini tidak, nak kami (JDT) keluar dari liga dan mengutuk liga sendiri sebab tak puas hati. Pasukan sendiri dan orang dalam pengurusan masing-masing yang tak betul dengan pelbagai isu, salahkan liga dan badan induk.

“Anda uruskan dana, perancangan pasukan, pembangunan, dan infrastruktur dengan cara yang tidak betul, tapi ambil jalan mudah salahkan orang lain. Itu adalah mentaliti kalah dan tidak bertanggungjawab,” tegasnya.

Kemenangan JDT pada Selasa telah meletakkan skuad Harimau Selatan di tangga ke-5 carta ACLE, sekali gus mengukuhkan tempat dalam kelompok 8 terbaik kejohanan.

artikel berkaitan

ARTIKEL TERBARU