Shanghai Port gagal memintas Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam saingan AFC Champions League Elite (ACLE) selepas tunduk 4-0 kepada Vissel Kobe dalam aksi ketujuh kejohanan.
Jaguh China itu turun dengan skuad terbaik di Stadium Noevir, Jepun, namun dikejutkan dengan jaringan awal Yoshinori Muto pada minit ke-11. Vissel Kobe terus mendominasi permainan dan menutup segala ruang buat Shanghai Port untuk bangkit menyamakan kedudukan.
Bersambung babak kedua, Yuya Kuwasaki (54’) dan Koya Yuruki (56’) menambah derita Shanghai Port dengan dua jaringan dalam tempoh dua minit sebelum Yuya Osako melengkapkan kemenangan bergaya pada minit ke-81.
Keputusan ini memastikan Vissel Kobe melonjak ke tangga teratas kumpulan, sementara Shanghai Port kekal di tangga ketujuh dengan 8 mata. Kekalahan ini juga menyebabkan hasrat mereka untuk memintas JDT yang berada di tangga kelima dengan 11 mata musnah.
Shanghai Port kini perlu menang dalam aksi terakhir kumpulan jika mahu mara ke pusingan kalah mati, sementara JDT masih berpeluang mengukuhkan kedudukan dalam perlawanan terakhir nanti.
