Kementerian Pengangkutan (MOT) hari ini memberi penjelasan mengenai pemilihan syarikat yang akan melaksanakan perkhidmatan pemeriksaan kenderaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Motor (PPKM), susulan persoalan yang timbul di media sosial.
Sebanyak 12 syarikat mengemukakan cadangan dalam proses Request For Proposal (RFP) sebelum tarikh tutup pada 31 Oktober 2024. Pemilihan dilakukan berdasarkan garis panduan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), termasuk syarat kelayakan dan prosedur yang ditetapkan sejak 23 April 2024.
9 Syarat Utama Pemilihan
MOT menyenaraikan 9 syarat utama yang perlu dipenuhi oleh syarikat yang menyertai proses ini:
✅ Berdaftar dengan SSM & PBT serta dimiliki sepenuhnya oleh syarikat tempatan.
✅ Modal berbayar sekurang-kurangnya RM10 juta dan modal pusingan minimum RM5 juta setahun.
✅ Sijil perakuan pematuhan standard daripada Jabatan Standard Malaysia dalam tempoh dua tahun.
✅ Deposit atau bon minimum 5% daripada nilai modal pusingan.
✅ Sijil Kemudahan Yang Diluluskan (KYDL) daripada Jabatan Alam Sekitar.
✅ Berdaftar sebagai ahli International Motor Vehicle Committee (CITA) dalam tempoh dua tahun.
✅ Pemegang saham, pemilik atau ahli lembaga pengarah tidak mempunyai kes mahkamah atau disenarai hitam oleh pihak berkuasa.
Selepas proses penilaian oleh Jawatankuasa Pelesenan dan Penilaian PPKM, hanya tiga syarikat memenuhi syarat dan dilantik selain PUSPAKOM.
Tiada Syarat Tempoh Pendaftaran SSM
MOT menjelaskan bahawa tempoh pendaftaran dengan SSM bukan syarat kelayakan, sebaliknya, kestabilan kewangan syarikat melalui modal berbayar dan modal pusingan diutamakan.
Kelulusan Bersyarat
Surat tawaran yang dikeluarkan pada 7 Februari 2025 adalah kelulusan bersyarat, di mana syarikat perlu melengkapkan infrastruktur, peralatan dan tenaga kerja dalam tempoh 24 bulan sebelum lesen operasi diberikan. Jika syarat ini gagal dipenuhi, lesen tidak akan dikeluarkan.
MOT menegaskan bahawa proses ini dijalankan mengikut tatacara perolehan dan kewangan yang berkuat kuasa, bagi memastikan perkhidmatan pemeriksaan kenderaan yang berkualiti, telus dan kompetitif untuk manfaat rakyat.
