Johor Darul Ta’zim (JDT) dijangka menerima sokongan penuh daripada penyokong setia menjelang aksi terakhir Liga Timur ACLE menentang Pohang Steelers. Dengan kemenangan 2-1 ke atas Central Coast Mariners (CCM), Harimau Selatan kini berada pada kedudukan terbaik untuk mara ke pusingan 16 terbaik ACLE.
JDT hanya perlu mencatat kemenangan ke atas juara Korean FA Cup 2024 itu untuk mengekalkan kedudukan dalam kelompok lima pasukan terbaik Liga Timur ACLE. Misi ini mendapat sokongan padu apabila semakan di TicketHotline menunjukkan tiket peruntukan untuk penyokong JDT telah habis dijual. Yang tinggal hanyalah tiket yang disediakan untuk penyokong Pohang Steelers.
Dengan sokongan luar biasa ini, tidak mustahil angka kehadiran tertinggi ACLE yang pernah dicatatkan di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) bakal dipecahkan sekali lagi. Statistik semasa menunjukkan perlawanan JDT menentang Ulsan HD sebelum ini merekodkan kehadiran seramai 34,236 orang, sekaligus mengatasi beberapa kelab ternama Asia termasuk Al-Nassr dari Arab Saudi.
Perlawanan ini bakal menjadi aksi yang sangat penting buat JDT, bukan sahaja untuk mengesahkan tempat ke pusingan seterusnya, tetapi juga sebagai bukti bahawa Harimau Selatan terus berkembang sebagai kuasa besar bola sepak Asia.
