Selasa, November 4, 2025

DYAM Tunku Ismail, JDT Ziarahi Keluarga Kurang Bernasib Baik

Pemilik Kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), DYAM Tunku Ismail, Pemangku Sultan Johor, berkenan menziarahi keluarga kurang bernasib baik di daerah Pontian, Johor, bersama para pemain dan pegawai skuad Harimau Selatan. Walaupun sibuk dengan persiapan menghadapi perlawanan penting menentang Pohang Steelers dalam aksi terakhir pusingan liga AFC Champions League Elite (ACLE) pada Selasa ini, skuad JDT tetap meluangkan masa untuk menyantuni masyarakat yang memerlukan.

Menerusi hantaran di akaun media sosial rasmi DYAM Tunku Ismail, Baginda bersama pasukan hadir menziarahi keluarga yang baru sahaja ditimpa musibah. Dalam kunjungan itu, sumbangan khas turut disampaikan bagi membantu meringankan beban yang dihadapi oleh keluarga-keluarga tersebut.

“Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor bersama para pemain dan pegawai Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) telah meluangkan masa menziarahi dan menghulurkan bantuan kepada keluarga-keluarga yang kurang bernasib baik di daerah Pontian pada 16 Februari 2025,” jelas kenyataan tersebut.

Sumbangan kurnia disampaikan secara langsung oleh DYAM Tunku Ismail sebagai tanda keprihatinan terhadap masyarakat yang menghadapi kesulitan. Kunjungan ini bukan sahaja memberikan bantuan material tetapi juga semangat kepada mereka yang terkesan.

Selepas program kebajikan ini, fokus JDT kini beralih sepenuhnya kepada perlawanan menentang Pohang Steelers. Pasukan milik DYAM Tunku Ismail kini berada di tangga ke-5 dan masih berpeluang cerah untuk mara ke pusingan kalah mati dalam kelompok 8 pasukan terbaik ACLE.

artikel berkaitan

ARTIKEL TERBARU