Kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) secara rasmi mengumumkan kehadiran bekas pertahanan Al-Nassr, Alvaro Gonzalez dalam skuad mereka.
Dalam satu video pengenalan yang dimuat naik pagi Selasa, JDT mengesahkan pemain berusia 35 tahun itu sebagai tambahan terbaru untuk memperkukuh benteng pertahanan skuad Harimau Selatan.
“Dari La Liga ke Ligue 1 dan Saudi, kini ke rumah Harimau Selatan, Alvaro Gonzalez!” umum JDT dalam satu hantaran media sosial.
Gonzalez, yang sebelum ini beraksi bersama Al-Qadsia di Arab Saudi, mempunyai pengalaman luas bermain di liga utama Eropah termasuk La Liga Sepanyol dan Ligue 1 Perancis. Kehadirannya dijangka memberi kekuatan tambahan buat JDT, khususnya dalam usaha mara ke peringkat kalah mati AFC Champions League Elite (ACLE).
JDT kini bersiap sedia menghadapi cabaran seterusnya dalam ACLE menentang Central Coast Mariners di Australia pada 11 Februari ini.
