Pemain sayap Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman, terus membuktikan dirinya sebagai pemain terbaik Malaysia ketika ini selepas mempamerkan aksi cemerlang bersama kelabnya di pentas antarabangsa.
Terbaru, Arif membantu JDT menewaskan Central Coast Mariners 2-1 dalam saingan AFC Champions League (ACL) Elite, sekali gus mencerahkan peluang Harimau Selatan mara ke pusingan seterusnya.
Sudah sekian lama peminat bola sepak tempatan menggesa Arif untuk mencabar dirinya di luar negara, dengan Liga Jepun (J1 League) sering disebut sebagai destinasi terbaik. Namun, beberapa faktor perlu dipertimbangkan sebelum bintang berusia 22 tahun itu berhijrah ke sana.
Menurut pemerhati bola sepak Jepun, Ahmad Ridzuan, Arif perlu bersedia menghadapi persekitaran permainan yang berbeza setiap minggu, yang jauh lebih mencabar berbanding saingan domestik di Malaysia. Selain itu, beliau juga perlu memecahkan dinding kepercayaan kelab Jepun terhadap pemain Malaysia, sesuatu yang belum pernah berjaya dilakukan sebelum ini.
Sekiranya Arif berjaya, ia bukan sahaja menjadi kejayaan peribadi, tetapi juga membuka pintu untuk lebih ramai pemain Malaysia ke liga terbaik Asia itu. Sebaliknya, kegagalan Arif mungkin memberi gambaran bahawa Malaysia masih belum melahirkan pemain berkualiti tinggi untuk beraksi di peringkat antarabangsa.
Selain Jepun, ada juga pihak yang percaya Arif Aiman layak ke Eropah. The Rangers Journal, sebuah podcast bola sepak dari Scotland, menyatakan bahawa Arif memiliki pakej lengkap sebagai pemain sayap moden – kelajuan, kemahiran, pergerakan pintar, serta kemampuan mencipta peluang dan menjaringkan gol.
Menurut mereka, Arif adalah ancaman besar dalam kawasan serangan terakhir, dengan kemampuan menggelecek serta membuat larian belakang pertahanan yang sukar dikawal. Walaupun masih ada ruang untuk peningkatan dari segi pertahanan, Arif sudah menunjukkan peningkatan dalam penyudah serta kualiti hantaran akhir, menjadikannya aset penting untuk mana-mana pasukan yang mahukan pemain sayap kreatif dan dinamik.
Kini, persoalannya – adakah Arif Aiman bersedia untuk meninggalkan JDT dan mencuba cabaran lebih besar? Atau adakah dia akan terus menjadi bintang utama dalam saingan domestik? Masa depan bintang muda ini pasti terus menjadi perbincangan hangat dalam kalangan peminat bola sepak Malaysia.
