Pemain baharu Johor Darul Ta’zim (JDT), Alvaro Gonzalez, menzahirkan rasa terima kasih kepada pemilik pasukan, DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor, atas kepercayaan diberikan kepadanya untuk menyertai skuad Harimau Selatan.
Gonzalez diumumkan sebagai ‘kereta kebal’ baharu JDT bagi memperkukuh benteng pertahanan menjelang dua aksi penting dalam AFC Champions League Elite (ACLE). Kehadirannya memberi lebih banyak pilihan kepada Hector Bidoglio, selaku jurulatih JDT, dalam membentuk gandingan terbaik untuk mengekang serangan lawan.
Pemain berusia 34 tahun itu bukan calang-calang pertahanan, pernah beraksi bersama kelab ternama seperti Villarreal, Marseille dan Al-Nassr. Dengan nilai pasaran mencecah RM4.5 juta, Gonzalez kini menjadi antara pertahanan termahal dalam sejarah JDT.
Dalam satu kenyataan di Instagram, Gonzalez meluahkan kegembiraan dapat menyertai kelab gergasi Malaysia ini dan berjanji akan memberikan aksi terbaik untuk penyokong serta keluarga besar JDT.
“Saya rasa gembira dan bangga menyertai kelab ini. Mari kita bekerja keras dan menikmati permainan di atas padang.”
Beliau turut menyampaikan penghargaan kepada DYAM Tunku Ismail, melihat peluang bersama JDT sebagai satu penghormatan besar dalam kariernya.
“Buat DYAM Tunku Ismail, saya mahu ucapkan terima kasih di atas kepercayaan serta sokongan anda sejak saya tiba di sini. Ini satu penghormatan menjadi sebahagian daripada keluarga ini.”
Selain Gonzalez, JDT turut mengukuhkan pasukan dengan kehadiran dua pemain tengah baharu, Jonathan Viera dan Roque Mesa, bagi menghadapi cabaran besar di peringkat Asia.
Ujian getir menanti JDT di ACLE, dengan perlawanan pertama menentang Central Coast Mariners di Australia pada 11 Februari, sebelum berdepan Pohang Steelers di laman sendiri. Mampukah Gonzalez membantu JDT mencipta kejayaan di pentas Asia?
