Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) meramalkan Johor Darul Ta’zim (JDT) akan terus cemerlang dalam saingan AFC Champions League Elite (ACLE), dengan Arif Aiman menjadi tonggak utama kejayaan pasukan.
Ketika ini, JDT berada di kedudukan ke-6 carta ACLE selepas mencatat dua kemenangan, dua seri, dan dua kekalahan dalam enam perlawanan, sekali gus menempatkan mereka dalam kelompok lapan pasukan terbaik. Prestasi cemerlang ini hasil daripada kemampuan skuad JDT beradaptasi dengan baik ketika berdepan kelab-kelab gergasi Asia.
Salah satu faktor utama kejayaan JDT adalah Arif Aiman, yang telah menjaringkan empat gol dalam enam perlawanan. Kehebatan pemain sayap muda ini turut mendapat perhatian AFC, yang menyatakan bahawa JDT mampu terus bersaing di peringkat Asia jika Arif mengekalkan prestasi luar biasanya.
“Arif Aiman memang luar biasa!” tulis AFC di media sosial. “JDT bersedia untuk cabaran ACLE yang hebat jika dia terus bermain seperti ini!”
JDT kini berdepan dua perlawanan penting dalam usaha mengekalkan kedudukan dalam kelompok lapan terbaik dan mara ke pusingan kalah mati ACLE. Pada 11 Februari, mereka akan terbang ke Australia untuk menentang Central Coast Mariners, sebelum melayani kunjungan Pohang Steelers seminggu kemudian.
