Penyerang berbisa Johor Darul Ta’zim (JDT), Bergson Da Silva, kini semakin hampir menjadi pemain naturalisasi Malaysia. Perkara ini hangat diperkatakan selepas DYAM Tunku Ismail, Pemangku Sultan Johor, mengesahkan bahawa Bergson layak untuk dinaturalisasikan selepas lima tahun beraksi di Malaysia.
Bergson sendiri tidak menolak kemungkinan tersebut, malah menyatakan kesediaannya untuk menyarung jersi Harimau Malaya jika diperlukan. Baginya, Malaysia sudah menjadi seperti rumah sendiri.
Terbaharu, penyerang berusia 33 tahun itu mencetuskan spekulasi apabila mengemas kini bio Instagram dengan menambah bendera Malaysia, seolah-olah memberi bayangan bahawa proses naturalisasi telah selesai. Wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam, turut melaporkan bahawa Bergson sudah pun menjadi pemain naturalisasi negara.
Jika benar Bergson kini pemain Harimau Malaya, ia bakal menjadi satu suntikan besar buat skuad kendalian Peter Cklamovski dalam menghadapi Kelayakan Piala Asia 2027.
Selain Bergson, nama Manuel Hidalgo juga pernah dikaitkan sebagai calon pemain naturalisasi setelah beraksi di Malaysia sejak 2021. Kehadiran pemain-pemain berkaliber ini diharap mampu mengukuhkan lagi skuad negara dalam pentas antarabangsa.
