Pengendali Terengganu FC (TFC), Badrul Afzan Razali, menegaskan bahawa kemenangan ke atas BG Pathum United adalah kunci utama untuk memastikan kemaraan ke separuh akhir Shopee Cup.
Selepas empat perlawanan dalam Kumpulan A, BG Pathum dan Terengganu berada di tangga pertama dan kedua dengan masing-masing mengumpul lapan dan tujuh mata. Kedua-dua pasukan sedar bahawa hanya kemenangan akan memastikan tempat ke separuh akhir sebagai juara kumpulan.
Kekalahan boleh membawa padah kerana dua pasukan lain, PSM Makassar dan Dong A Thanh Hoa, masih berpeluang memintas dan merebut slot naib juara kumpulan. Atas sebab itu, Badrul Afzan optimis bahawa Peteh perlu pulang dengan tiga mata penuh.
“Untuk aksi esok, saya harap kita dapat meraih tiga mata dan mara ke separuh akhir. Saya optimis dengan pemain-pemain untuk melakukannya,” kata Badrul dalam sidang media pra-perlawanan.
“Saya tahu BG Pathum pasukan yang bagus dengan ramai pemain berpengalaman. Jadi, kita jangka mereka akan beri tentangan sengit. Saya harap pemain-pemain bersedia agar kita dapat layak ke separuh akhir,” tambahnya.
Namun, Terengganu terpaksa beraksi tanpa bek kiri Alif Zakaria, yang mengalami kecederaan ligamen anterior krusiat (ACL) dan terpaksa berehat panjang.
Perlawanan penting ini bakal berlangsung pada 5 Februari, dan ia juga merupakan aksi pertama buat jurulatih baharu BG Pathum, Anthony Hudson. Adakah Peteh mampu mengatasi cabaran kelab Thailand itu dan mara ke separuh akhir? Nantikan aksi penuh debaran ini!
