Khamis, Oktober 8, 2026

Bekas Bintang EPL, Roque Mesa Sah Sertai JDT!

Johor Darul Ta’zim (JDT) terus mengukuhkan pasukan dengan membawa masuk bekas bintang Liga Perdana Inggeris (EPL), Roque Mesa sebagai rekrut terbaru mereka.

Perpindahan pemain tengah berusia 35 tahun itu diumumkan menerusi laman rasmi Johor Southern Tigers, menyaksikan kehadiran satu lagi nama besar dalam skuad Harimau Selatan.

“Merah dan Biru bukan sekadar warna, ianya satu legasi. Selamat datang ke Harimau Selatan, Roque Mesa,” kata kelab dalam satu kenyataan.

Kehadiran Mesa di JDT juga mempertemukannya kembali dengan Jordi Amat, bekas rakan sepasukannya di Swansea City pada musim 2017/18. Selain itu, Mesa pernah beraksi bersama Sevilla, Sporting Gijon, CD Leganes, Las Palmas, Valladolid dan Levante, menjadikannya antara pemain paling berpengalaman dalam skuad JDT.

Pemain Tengah Berpengalaman Untuk ACLE

Mesa menjadi rekrut ketiga JDT dalam persiapan menghadapi baki kempen Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE), menyertai Jonathan Viera dan Alvaro Gonzalez.

Tidak seperti Viera dan Gonzalez, perpindahan ini merupakan kali pertama Mesa beraksi di benua Asia. Dengan pengalaman luasnya di Eropah, beliau dijangka menjadi aset penting buat Hector Bidoglio untuk memperkukuhkan bahagian tengah pasukan.

Dua Aksi Penting Menanti

Harimau Selatan kini berada dalam kedudukan yang baik untuk mara ke pusingan kalah mati ACLE. Kehebatan tiga pemain import terbaru ini bakal diuji dalam dua aksi penting Liga Timur, termasuk pertemuan dengan juara A-League 2023/24, Central Coast Mariners pada 11 Februari.

Dengan penambahan pemain berkualiti seperti Mesa, JDT semakin bersedia untuk menggegarkan pentas Asia dan memburu kejayaan lebih besar di peringkat antarabangsa!

artikel berkaitan

ARTIKEL TERBARU