Selasa, November 4, 2025

Gaji Minimum RM1,700 Berkuat Kuasa Hari Ini

Seramai 4.37 juta pekerja di Malaysia akan menerima gaji minimum baharu sebanyak RM1,700 sebulan, berbanding RM1,500 sebelum ini, susulan pelaksanaan Perintah Gaji Minimum yang berkuat kuasa mulai hari ini.

Perintah ini terpakai kepada majikan yang menggajikan lima orang pekerja atau lebih, serta majikan yang menjalankan aktiviti profesional, tanpa mengira bilangan pekerja yang diambil bekerja.

Bagi majikan yang menggajikan kurang daripada lima pekerja, tempoh peralihan diberikan, dan kadar gaji minimum akan berkuat kuasa mulai 1 Ogos 2025. Ini bagi memberi ruang kepada majikan membuat penyesuaian dalam struktur gaji dan operasi perniagaan mereka.

Majikan diwajibkan mematuhi Perintah Gaji Minimum ini, dan sebarang kegagalan boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 (Akta 732).

Menurut Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), pelaksanaan ini adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk meningkatkan pendapatan pekerja melalui Dasar Gaji Progresif serta program latihan kemahiran bagi meningkatkan keberhasilan dan pendapatan pekerja.

Bagaimanapun, KESUMA menegaskan bahawa gaji minimum tidak sepatutnya menjadi penanda aras gaji permulaan bagi semua pekerja, terutama siswazah. Gaji pekerja haruslah ditentukan mengikut kemahiran dan pengalaman masing-masing.

Dalam Belanjawan 2025, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kenaikan gaji minimum ini sebagai sebahagian daripada penstrukturan ekonomi, bagi memastikan rakyat memperoleh gaji yang lebih bermakna untuk meningkatkan taraf hidup mereka.

Untuk maklumat lanjut mengenai Perintah Gaji Minimum baharu, layari laman web rasmi di https://minimumwages.mohr.gov.my/ atau hubungi melalui e-mel di minimumwages@mohr.gov.my.

artikel berkaitan

ARTIKEL TERBARU