Sabtu, Oktober 3, 2026

Ketua UMNO Sabah, Bung Moktar Radin Kembali ke Rahmatullah

Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin disahkan meninggal dunia pada jam 1.46 pagi tadi di sebuah hospital swasta di Kota Kinabalu.

Berita pemergian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan itu disampaikan oleh anaknya, Naim Kurniawan, menerusi hantaran di Facebook.

“Assalamualaikum. Dengan penuh dukacita dimaklumkan bahawa ayahanda kami, Moktar bin Radin, telah menghembuskan nafas terakhir pada 05 Disember 2025, jam 1.46 pagi (14 Jamadilakhir 1447H). Mohon semua mendoakan agar roh beliau dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama mereka yang beriman. Al-Fatihah,” tulisnya.

Difahamkan, Allahyarham menerima rawatan di hospital berkenaan selepas mengalami kegagalan fungsi buah pinggang serta jangkitan serius pada paru-paru.

Pemergian Datuk Seri Bung Moktar pada hari Jumaat yang penuh keberkatan dianggap sebagai satu ketentuan istimewa, sekaligus memberi makna mendalam kepada keluarga, rakan perjuangan dan seluruh rakyat Sabah yang mengenalinya.

Allahyarham baru sahaja mengekalkan kemenangan di kerusi DUN Lamag pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang lalu, menunjukkan kepercayaan rakyat yang berterusan terhadap kepimpinannya.

Sepanjang kerjayanya, beliau pernah berkhidmat sebagai Timbalan Ketua Menteri Sabah dan juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, memainkan peranan besar dalam membangunkan politik negeri serta memperjuangkan hak rakyat Sabah di peringkat nasional.

Pemergian beliau meninggalkan kekosongan besar dalam arena politik tanah air, khususnya bagi mereka yang mengenalinya sebagai pemimpin tegas, lantang dan berprinsip.

Semoga roh Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin dicucuri rahmat, diampunkan segala dosa dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman.
Al-Fatihah.

artikel berkaitan

ARTIKEL TERBARU