Jumaat, Oktober 2, 2026

Arif Aiman Jalani Pemulihan Kecederaan di Luar Negara

Pemain sayap sensasi Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Hanapi, kini berada di luar negara untuk menjalani proses pemulihan kecederaan yang dialaminya ketika bersama skuad kebangsaan, Harimau Malaya.

Perkembangan tersebut dikongsikan oleh wartawan sukan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam, yang memaklumkan bahawa Arif Aiman berlepas ke luar negara pada hari yang sama JDT menentang Kuching City FC dalam aksi separuh akhir kedua Piala FA.

“Arif Aiman terbang ke luar negara ketika JDT turun menentang Kuching City untuk menerima rawatan lanjut susulan kecederaan yang dialaminya sebelum ini,” katanya menerusi platform X (Twitter).

Pemain berusia 23 tahun itu mengalami kecederaan ketika mewakili Harimau Malaya, dan hanya sempat beraksi sembilan minit menentang Laos sebelum digantikan oleh Faisal Halim, kapten Selangor FC.

Sejak insiden itu, Pemain Paling Bernilai (MVP) ABK24-25 tersebut menumpukan sepenuh perhatian terhadap proses pemulihan agar dapat kembali ke prestasi terbaiknya. Kecederaan itu juga menyebabkan JDT terpaksa beraksi tanpa khidmat Arif dalam beberapa perlawanan penting, termasuk ketika menentang Melbourne City.

Walaupun berada jauh, Arif Aiman tetap menunjukkan semangat dan sokongan kepada rakan sepasukannya. Dalam satu perkongsian di Instagram Story, beliau sempat menonton aksi JDT secara langsung melalui komputer ribanya sebelum berangkat ke luar negara.

Sementara itu, JDT terus melakar kejayaan apabila menempah slot ke final Piala FA selepas menewaskan Kuching City dengan agregat 4-1.

Kehilangan Arif Aiman sememangnya dirasai, namun para penyokong JDT mendoakan agar bintang muda itu kembali pulih sepenuhnya dan kembali memperkuatkan pasukan dalam masa terdekat.

artikel berkaitan

ARTIKEL TERBARU