Sabtu, Oktober 3, 2026

Lepas Ini Kandungan Tak Sesuai Di YouTube Akan Disemak Lebih Cepat Di Malaysia

Google mengumumkan bahawa Content Forum, badan kawal selia kendiri industri di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), kini secara rasmi menyertai Program Priority Flagger. Kerjasama strategik ini bertujuan memperkukuh usaha Malaysia dalam memastikan persekitaran digital yang lebih selamat dan bertanggungjawab.

Dengan penyertaan ini, Content Forum diberi akses kepada saluran khas untuk melaporkan kandungan yang berpotensi melanggar dasar di platform YouTube dan Google. Setiap laporan yang dihantar akan diberi keutamaan untuk semakan pantas oleh pihak Google, menjadikan proses pemantauan lebih efisien dan berimpak tinggi.

Selain itu, Content Forum akan turut terlibat dalam memberi maklum balas terhadap dasar kandungan YouTube dan Google, sekali gus membantu memastikan pendekatan penapisan lebih sensitif terhadap konteks budaya tempatan. Ini menjadikan suara tempatan lebih relevan dalam ekosistem digital global.

Google Malaysia menyifatkan kolaborasi ini sebagai satu penambahan penting terhadap kepakaran tempatan, yang mampu menangani isu kandungan sensitif secara lebih tepat dan bertanggungjawab. Bagi pihak Content Forum pula, langkah ini membolehkan mereka bertindak lebih proaktif dalam menyaring kandungan bermasalah agar dapat dikenalpasti dan diambil tindakan dengan segera.

Penyertaan Malaysia melalui Content Forum dalam program elit Google ini mencerminkan komitmen serius negara dalam menangani cabaran keselamatan digital secara lebih menyeluruh.

artikel berkaitan

ARTIKEL TERBARU