Cadangan menaikkan umur persaraan wajib penjawat awam kepada 65 tahun terus mencetuskan perdebatan hangat apabila Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dato’ Dr Azman Ibrahim tampil menyuarakan bantahan terhadap langkah tersebut.
Menurut Dr Azman, menaikkan had umur persaraan tidak wajar kerana ia tidak mengambil kira faktor fizikal dan keupayaan semasa golongan penjawat awam, khususnya yang memegang jawatan seperti kerani dan guru.
“Nak minta kerani berkhidmat sampai umur 65 tahun, saya bimbang ada yang sudah kelabu mata tengok ‘keyboard’ komputer. Cikgu pun kasihan juga, sekolah empat tingkat tak ada lif, larat ke nak naik turun tangga?” katanya memetik laporan Harakah Daily.
Tambah beliau, sekiranya terdapat individu tertentu yang masih mempunyai kepakaran khusus dan diperlukan oleh perkhidmatan awam, khidmat mereka boleh disambung secara kontrak — tanpa perlu menaikkan umur persaraan secara menyeluruh.
Dr Azman yang juga Exco Kerajaan Negeri Terengganu berpendapat, tempoh 30 tahun dalam perkhidmatan sudah mencukupi untuk seseorang menyumbang kepada pembangunan negara. Katanya, tumpuan seharusnya diberikan kepada generasi muda yang sedang menunggu peluang pekerjaan.
“Graduan baharu ramai yang sedang menunggu peluang. Sudah tiba masanya mereka pula diberi ruang untuk berbakti,” ujarnya.
Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said mencadangkan agar umur persaraan penjawat awam dinaikkan kepada 65 tahun. Cadangan tersebut dibuat berdasarkan jangka hayat rakyat Malaysia yang semakin panjang dan keupayaan warga emas untuk terus menyumbang secara aktif kepada masyarakat serta ekonomi negara.
Bagaimanapun, cadangan itu menimbulkan reaksi bercampur, termasuk kebimbangan tentang isu pengangguran belia dan ketidakupayaan sesetengah pekerja untuk terus berkhidmat dalam usia lanjut.
Perdebatan ini dijangka berterusan, dengan pelbagai pihak menekankan keperluan untuk mencari keseimbangan antara pengalaman warga lama dan peluang untuk generasi baharu.
