Seorang pelancong wanita dari China telah mencuri perhatian ramai selepas berkongsi satu pengalaman menyentuh hati ketika berada di stesen KL Sentral, Kuala Lumpur.
Menerusi sebuah video yang dimuat naik di TikTok, wanita tersebut menceritakan bagaimana dia berasa keliru dan panik semasa cuba membeli tiket tren kerana tidak biasa dengan sistem pengangkutan awam di Malaysia. Dalam keadaan terpinga-pinga dan keseorangan, seorang lelaki tempatan secara spontan datang menghulurkan bantuan.
“Saya tidak tahu bagaimana nak membeli tiket tren dan sedang tercari-cari mesin menjual tiket,” katanya.
Menurut wanita itu, lelaki berkenaan bukan sahaja menunjukkan lokasi mesin tiket, malah menerangkan satu per satu langkah penggunaannya dengan sabar dan jelas. Apa yang lebih menyentuh perasaannya, lelaki tersebut sanggup berpatah balik setelah berjalan agak jauh semata-mata untuk memastikan dia benar-benar faham cara menggunakan mesin tersebut.
Tidak cukup dengan itu, lelaki tersebut turut menemani wanita berkenaan sehingga ke platform tren. Ketika dia mengucapkan terima kasih, lelaki itu hanya meletakkan tangan di dadanya sambil tersenyum — satu gerak isyarat yang disifatkan wanita itu sebagai sangat sopan dan penuh rasa hormat.
“Sekiranya ada sesiapa yang ternampak dia di stesen, tolonglah sokong jika dia sedang menjual sesuatu. Dia benar-benar seorang insan yang baik,” ujar wanita itu penuh rasa terharu.
Video tersebut menerima pelbagai reaksi positif dari netizen. Rata-rata memuji keprihatinan dan budi pekerti lelaki itu, sekali gus menggambarkan nilai-nilai murni yang masih kukuh dalam masyarakat Malaysia.
Kejadian ini menjadi peringatan bahawa sedikit kebaikan mampu memberi impak besar kepada orang lain, apatah lagi kepada mereka yang berada jauh dari tanah air.
