Bekas pemain pertahanan kebangsaan, Razman Roslan percaya Ali Olwan bakal menjadi tonggak penting dalam kempen Selangor FC bagi baki musim 2024/25. Penyerang Jordan itu menunjukkan impak besar sejak tiba sebagai ejen bebas dalam jendela perpindahan kedua Liga Malaysia (Liga M).
Ali telah menjaringkan lima gol dalam 18 perlawanan, termasuk aksi dalam MFL Challenge Cup, di mana dia membantu Selangor menamatkan kemarau kejuaraan selama sedekad dengan merangkul gelaran juara kejohanan tersebut.
Razman menyifatkan keputusan Selangor mendapatkan Ali sebagai langkah bijak. Kehadirannya di bahagian serangan mampu mengurangkan beban Ronnie Fernandez dan memberikan lebih banyak pilihan taktikal buat pasukan.
“Dengan larian dan umpanan yang baik, serta keupayaan menjaringkan gol, kehadiran Ali memberi impak kepada pasukan. Ini membantu meringankan tanggungjawab Ronnie dan Alvin Fortes di bahagian serangan,” kata Razman ketika menjadi panel Nindia.
Pemerhati bola sepak negara, Datuk Richard Scully, turut sependapat bahawa Ali memberikan nilai tambah kepada skuad Merah Kuning, terutama dalam separuh kedua musim ini.
“Dalam 11 perlawanan, beliau sudah menjaringkan lima gol dan mencatat tiga bantuan gol. Ini jelas menunjukkan kualitinya dalam membantu pasukan,” katanya.
Aksi berbisa penyerang berusia 24 tahun ini sekali lagi bakal diuji apabila Selangor berdepan Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) pada 8 Mac. Dengan prestasi yang semakin meningkat, Ali dijangka menjadi senjata utama Selangor dalam usaha mengekalkan momentum kemenangan mereka.
