Isu melibatkan tujuh pemain warisan Malaysia yang sebelum ini terpalit dengan hukuman FIFA dilihat semakin hampir menemui penyelesaian apabila bendera Malaysia kembali diletakkan pada profil mereka di laman statistik bola sepak antarabangsa, Transfermarkt.
Sebelum ini, pemain-pemain terbabit hanya ditandakan dengan status “tidak diketahui” selepas Malaysia menerima tamparan hebat pada 26 September lalu susulan hukuman FIFA terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) serta tujuh pemain berkenaan berkaitan isu pemalsuan dokumen.
FIFA mengenakan denda kira-kira RM1.8 juta ke atas FAM dan RM10,560 terhadap setiap pemain warisan, selepas siasatan mendapati terdapat kesilapan dalam proses pendaftaran yang membolehkan mereka menyarung jersi kebangsaan.
Namun, kemas kini terbaharu di laman Transfermarkt menunjukkan bendera Malaysia kini dikembalikan pada profil ketujuh-tujuh pemain, menandakan perkembangan positif terhadap kes tersebut.
Menurut hantaran di laman sosial Nadi Bola, perubahan itu memberi isyarat bahawa status pemain-pemain terbabit mungkin akan dipulihkan tidak lama lagi.
“Status di laman Transfermarkt sudah kembali ke asal dengan bendera Malaysia. Sama-sama kita nantikan esok,” tulis hantaran itu.
Difahamkan, FAM telah mengemukakan rayuan rasmi kepada FIFA, menjelaskan bahawa kesilapan teknikal berlaku ketika menghantar dokumen pendaftaran pemain warisan terbabit.
Setakat ini, FAM masih menunggu maklum balas rasmi daripada FIFA, dan hasil rayuan tersebut dijangka diumumkan dalam masa terdekat, sesuatu yang dinantikan seluruh penyokong Harimau Malaya.
