Selasa, November 4, 2025

Endrick Fokus Wakili Negara, Belum Fikir Masa Depan Bersama JDT

Tonggak naturalisasi Johor Darul Ta’zim (JDT), Endrick Dos Santos memberi bayangan bahawa masa depannya bersama kelab masih belum diputuskan, meskipun beliau kini sedang membantu skuad kebangsaan menjelang aksi penting Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Vietnam.

Pemain tengah berusia 29 tahun itu kini dipinjamkan ke kelab Vietnam, Ho Chi Minh City FC, namun kembali memperkuatkan Harimau Malaya bagi perlawanan penting di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 10 Jun ini.

Endrick berkongsi bahawa beliau tetap menerima sokongan moral daripada kelabnya walaupun bakal berdepan pasukan negara tempat beliau bermain.

“Jurulatih saya mahu saya menang (menentang Vietnam), jadi saya katakan okay. Hubungan kami di sana sangat baik, antara jurulatih dan juga pemain. Saya tahu mereka semua menyokong saya,” jelasnya kepada media.

Mengulas mengenai masa depannya, Endrick enggan terlalu memikirkan kontrak bersama JDT buat masa ini, sebaliknya ingin memberi tumpuan kepada baki musim bersama Ho Chi Minh City FC.

“Liga Vietnam masih berbaki dua perlawanan. Selepas itu, saya akan buat keputusan tentang hala tuju saya. Saya masih ada baki kontrak dengan JDT,” katanya.

Endrick sebelum ini berperanan penting dalam kemenangan 2-0 Malaysia ke atas Nepal pada Mac lalu, dan dijangka sekali lagi menjadi antara watak utama menentang Vietnam nanti.

artikel berkaitan

ARTIKEL TERBARU