Selasa, November 4, 2025

Jeonbuk Hyundai Berminat Dapatkan Arif Aiman

Pemain sayap Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Hanapi sekali lagi mencuri perhatian kelab luar negara selepas kelab K-League 1, Jeonbuk Hyundai Motors dikhabarkan berminat untuk mendapatkan khidmatnya.

Sebelum ini, beberapa kelab terkemuka dari Timur Tengah seperti Persepolis dan Tractor turut dikaitkan dengan pemain berusia 23 tahun itu. Minat terhadap Arif semakin meningkat berikutan aksi konsisten yang dipamerkannya, terutamanya dalam saingan AFC Champions League Elite (ACLE).

Menurut laporan Markaj News, Jeonbuk Hyundai kini sedang memantau perkembangan Arif dengan serius. Pemain lincah itu telah menjaringkan 7 gol dan mencatat 12 bantuan jaringan dalam 17 perlawanan liga musim ini, menjadikannya antara aset paling bernilai dalam Liga Malaysia.

“Pemain sayap JDT, Arif Aiman sedang dipantau oleh pihak K League 1, Jeonbuk Hyundai Motors. Dia cemerlang musim ini dalam saingan Liga Malaysia serta Liga Juara-Juara AFC,” lapor laman itu di X.

Setakat ini, masih tiada sebarang pengesahan rasmi daripada Jeonbuk Hyundai atau JDT mengenai tawaran rasmi untuk Arif. Namun, dengan prestasi cemerlang dan reputasi yang semakin meningkat, perpindahan ke luar negara mungkin hanya menunggu masa bagi bintang muda Malaysia ini.

artikel berkaitan

ARTIKEL TERBARU