Penampilan pertama Roque Mesa sebagai pemain tengah Johor Darul Ta’zim (JDT) berakhir lebih awal selepas hanya 24 minit beraksi dalam perlawanan menentang Central Coast Mariners (CCM) dalam saingan Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE).
Mesa, yang baru menyertai JDT bersama dua lagi pemain import Sepanyol, Alvaro Gonzalez dan Jonathan Viera, mendapat kepercayaan Hector Bidoglio untuk diturunkan dalam kesebelasan utama. Beliau bergandingan dengan Natxo Insa di bahagian tengah.
Namun, pada minit ke-16, bekas pemain Swansea City dan Sevilla itu mengalami kecederaan ketika cuba menghalang hantaran kepada pemain CCM, Mikael Doka. Walaupun cuba meneruskan permainan selepas menerima rawatan, Mesa akhirnya terpaksa dikeluarkan.
Bagi menggantikan beliau, Afiq Fazail dimasukkan sebagai pemain tengah.
Ketika ini, JDT dan CCM masih terikat tanpa jaringan dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Central Coast, Gosport.
