Selasa, November 4, 2025

Pengunduran Shandong Taishan, JDT Naik Tangga Ketiga ACLE!

Keputusan mengejut kelab China, Shandong Taishan untuk menarik diri daripada saingan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) memberi impak besar kepada kedudukan akhir Zon Timur. Keputusan ini menyebabkan semua perlawanan membabitkan Shandong Taishan dibatalkan, termasuklah pungutan mata dan jaringan tidak dikira dalam penentuan kedudukan pasukan.

Situasi ini memberi kelebihan kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) yang kini melonjak ke tangga ketiga dengan 14 mata. Sebelum ini, JDT berada di tangga keempat, namun dengan pembatalan keputusan Shandong Taishan, Vissel Kobe yang sebelum ini menghuni tangga ketiga jatuh ke tangga keenam. Ini juga menyebabkan Gwangju FC naik ke tangga keempat dengan jumlah mata yang sama dengan JDT.

JDT tidak kehilangan sebarang mata berikutan keputusan ini kerana mereka sebelum ini tewas tipis 0-1 kepada Shandong Taishan. Dengan perubahan kedudukan ini, lawan JDT pada pusingan 16 terbaik turut bertukar. Jika sebelum ini mereka dijadualkan menentang Gwangju FC, kini skuad kendalian Hector Bidoglio bakal berdepan wakil Thailand, Buriram United dalam perlawanan penting menuju ke suku akhir ACLE.

Gwangju FC pula kini dijadualkan bertemu Vissel Kobe berdasarkan kedudukan akhir selepas pembatalan keputusan melibatkan Shandong Taishan. Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Datuk Seri Windsor Paul John mengesahkan bahawa kemaskini terbaru yang dikeluarkan oleh AFC adalah muktamad.

Sebagai rekod, pusingan 16 terbaik ACLE akan berlangsung secara timbal balik, namun bermula suku akhir hingga ke perlawanan akhir, hanya satu perlawanan akan dimainkan di venue berpusat di Arab Saudi. JDT kini bersedia untuk menghadapi cabaran Buriram United dalam pertembungan ‘Derbi ASEAN’ yang dijangka sengit.

artikel berkaitan

ARTIKEL TERBARU