Laman media Australia, The Roar, melihat Johor Darul Ta’zim (JDT) sebagai ancaman besar menjelang aksi AFC Champions League Elite (ACLE) menentang Central Coast Mariners (CCM).
JDT tiba di Australia dengan misi membawa pulang 3 mata untuk mengukuhkan kedudukan dalam kelompok 8 terbaik, sambil berbekalkan momentum 9 kemenangan berturut-turut. Sementara itu, CCM hanya melengkapkan jadual selepas berada di tangga tercorot tanpa peluang mara ke pusingan 16 terbaik.
Menurut The Roar, ancaman utama JDT datang dari bahagian sayap, diketuai oleh Arif Aiman Hanapi dan Juan Muñiz. Arif yang bermain di sebelah kanan sudah mencetak 4 gol dan 1 bantuan jaringan, manakala Muñiz di sebelah kiri mencipta 2 bantuan gol dan berpotensi menghasilkan jaringan.
Selain itu, mereka turut menilai impak besar oleh Bergson Da Silva, yang dianggap sebagai “raksasa yang sedang tidur” dengan hanya satu gol setakat ini, namun boleh meledak pada bila-bila masa jika berada di prestasi terbaik.
The Roar menasihati CCM supaya kekal berdisiplin dan membaca permainan dengan bijak bagi menghalang trio JDT daripada mencipta kekacauan di barisan pertahanan mereka.
Aksi CCM vs JDT akan berlangsung pada Selasa, 11 Februari dengan sepak mula jam 4 petang waktu Malaysia.
