Selasa, November 4, 2025

Jordi Amat Bangga JDT Mara ke Pusingan 16 ACLE

Tonggak pertahanan Johor Darul Ta’zim (JDT), Jordi Amat, meluahkan rasa bangga dan teruja selepas pasukannya berjaya menempah tiket ke pusingan kalah mati AFC Champions League Elite (ACLE) dengan kemenangan bergaya 5-2 ke atas Pohang Steelers.

Dalam aksi yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, Pohang terlebih dahulu mendahului menerusi tandukan Lee Ho-jae, namun JDT segera bangkit dengan jaringan penyamaan daripada Oscar Arribas. Babak kedua menyaksikan aksi luar biasa Harimau Selatan apabila Bergson, Arif Aiman, Jese, dan Jorge Obregon masing-masing meledak gol untuk memastikan kemenangan mutlak.

Keputusan ini meletakkan JDT di pusingan 16 terbaik, dan Jordi Amat mengakui dirinya hampir kehabisan kata-kata selepas kejayaan ini. Dalam satu hantaran di media sosial, beliau menzahirkan kegembiraan serta rasa bangga dapat menjadi sebahagian daripada skuad JDT yang terus mencipta sejarah.

“Apa yang boleh saya katakan, saya sungguh gembira dan bangga dengan pasukan ini,” tulis Amat. “Semua orang di sini sangat penting, ini untuk rakyat Johor. Mari nikmatinya, ayuh!” tambahnya dengan penuh semangat.

Kemenangan ini juga menyaksikan JDT menduduki tempat ketiga carta kedudukan ACLE selepas kelab China, Shandong Taishan, menarik diri secara mengejut. Dengan keputusan ini, JDT dijangka bakal berdepan Buriram United di pusingan 16, namun masih menantikan pengesahan rasmi daripada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

JDT terus menunjukkan dominasi mereka di pentas Asia, dan dengan semangat juang tinggi yang dipamerkan, Harimau Selatan kini semakin hampir mengukir sejarah dalam saingan kelab elit benua ini.

artikel berkaitan

ARTIKEL TERBARU