Selasa, November 4, 2025

JDT Lonjak Ke Tangga Kelima ACLE, Makin Hampir ke Pusingan 16

Johor Darul Ta’zim (JDT) melonjak ke tangga ke-5 carta AFC Champions League Elite (ACLE) selepas menewaskan Central Coast Mariners 2-1 dalam aksi di Australia.

JDT memanfaatkan kelebihan seorang pemain selepas penjaga gol tuan rumah, Peraic-Cullen, dilayangkan kad merah di penghujung babak pertama akibat terjahan keras ke atas Arif Aiman. Gol pertama hadir pada minit ke-64 apabila Alvaro Gonzalez menyambar hantaran lintang Arif Aiman untuk meletakkan JDT di depan.

Namun, Mariners kembali menyamakan kedudukan enam minit kemudian menerusi penyudah Alou Kuol. JDT terus mengasak dan akhirnya, Alvaro Gonzalez muncul wira dengan gol kemenangan pada minit ke-79.

Kemenangan ini meletakkan JDT dengan 11 mata, dua mata di atas Pohang Steelers yang masih beraksi. Kedudukan ini masih boleh berubah kerana lima lagi perlawanan bakal berlangsung, termasuk yang melibatkan pesaing utama seperti Shanghai Port dan Buriram United.

Perlawanan terakhir peringkat liga ACLE menyaksikan JDT akan menerima kunjungan Pohang Steelers di Stadium Sultan Ibrahim pada 18 Februari, satu aksi penentuan yang bakal menentukan nasib pasukan dalam kejohanan ini.

artikel berkaitan

ARTIKEL TERBARU