Selasa, November 4, 2025

JDT Ke Final Piala Malaysia, Hampiri Hatrik Kejuaraan

Johor Darul Ta’zim (JDT) sekali lagi membuktikan keunggulan mereka dalam saingan domestik apabila melangkah ke final Piala Malaysia 2024 selepas menundukkan Terengganu FC dalam aksi separuh akhir kedua di Stadium Sultan Ibrahim.

Perlawanan bermula dengan sengit apabila Terengganu tampil dengan semangat juang tinggi, memberikan tekanan kepada skuad tuan rumah. Anak buah Badrul Afzan Razali kelihatan lebih agresif pada awal permainan, cuba merobek gawang JDT menerusi gerakan pantas dari bahagian sayap dan tengah. Namun, ketangkasan barisan pertahanan Harimau Selatan memastikan tiada ruang mudah untuk lawan mendapatkan jaringan awal.

Ketika perlawanan masih seimbang, JDT akhirnya memecah kebuntuan menerusi ledakan pemain import Brazil, Heberty, yang melakukan rembatan kencang dari luar kotak penalti pada minit ke-28. Jaringan itu jelas membuat Syed Nasrulhaq tergamam, sekaligus memberikan kelebihan buat tuan rumah.

Terengganu tidak berputus asa dan terus menggandakan usaha untuk mencari gol penyamaan. Bagaimanapun, jentera serangan mereka yang diketuai Ismaheel Akinade, Nelson Bonilla, dan Nnabuike Chijioke Chukwu gagal menembusi benteng pertahanan kental JDT yang dikemudi Feroz Baharudin dan Jordi Amat.

Memasuki babak kedua, Terengganu akhirnya berjaya menyamakan kedudukan menerusi Ismaheel Akinade pada minit ke-55, selepas menerima hantaran tepat dari Bonilla dan melepasi kawalan pertahanan JDT sebelum menewaskan penjaga gol Christian Abad Amat. Gol tersebut memberi semangat baharu buat pasukan pelawat yang terus berusaha mencari gol kedua untuk merapatkan jurang agregat.

Namun, JDT tidak mudah goyah. Pasukan kendalian Hector Bidoglio mengekalkan penguasaan permainan dan terus menekan benteng pertahanan Terengganu. Ketika perlawanan hampir menuju ke penghujung, Heberty sekali lagi menjadi wira buat Harimau Selatan apabila berjaya mencetak gol kedua perlawanan menerusi rembatan deras pada masa tambahan, sekali gus memastikan kemenangan selesa JDT.

Keputusan akhir menyaksikan JDT melangkah ke final Piala Malaysia buat kali kelima berturut-turut dengan agregat 6-1. Dengan pencapaian ini, JDT kini hanya selangkah lagi untuk melengkapkan hatrik kejuaraan Piala Malaysia sejak 2022.

Menanti mereka di pentas final adalah Sri Pahang atau Sabah, yang akan menentukan pasukan mana bakal menjadi cabaran terakhir JDT dalam usaha mengekalkan dominasi bola sepak Malaysia. Aksi final dijangka berlangsung sengit dengan Harimau Selatan memburu kejuaraan ke-5 dalam tempoh enam tahun.

artikel berkaitan

ARTIKEL TERBARU