Johor Darul Ta’zim (JDT) semakin hampir untuk melangkah ke pusingan kalah mati AFC Champions League Elite (ACLE) selepas mengumpul 11 mata dari 7 perlawanan. Skuad Harimau Selatan kini berada di tangga ke-5 hasil daripada 3 kemenangan, 2 keputusan seri dan 2 kekalahan.
Jika kedudukan ini kekal selepas aksi terakhir peringkat liga, JDT bakal berdepan pasukan di tangga ke-4 iaitu Gwangju dari Korea Selatan. Format pusingan 16 ACLE menyaksikan pasukan dalam zon yang sama bertemu sesama sendiri, di mana pasukan di tangga teratas akan menentang lawan di tempat ke-8, dan seterusnya.
JDT pastinya berpeluang untuk membalas dendam terhadap Gwangju setelah tewas 1-3 dalam pertemuan terakhir mereka pada Oktober lalu di Yongin Mireu Stadium, Korea Selatan. Namun sebelum itu, JDT perlu menumpukan aksi terakhir mereka menentang Pohang Steelers, sementara Gwangju pula bakal berdepan Buriram United.
Keputusan perlawanan terakhir ini bakal menentukan sama ada JDT akan mengekalkan kedudukan dan berdepan Gwangju sekali lagi. Dengan semangat tinggi dan prestasi yang semakin meningkat, Harimau Selatan bersedia untuk memberi saingan sengit bagi meneruskan kemaraan dalam ACLE.
