Selasa, November 4, 2025

JDT: Bidoglio ‘Pening’ Pilih Kesebelasan Utama, Fokus Buru 3 Mata Penting

Johor Darul Ta’zim (JDT) bersedia untuk aksi penting Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) menentang Central Coast Mariners (CCM) esok, namun jurulatih Hector Bidoglio masih belum membuat keputusan mengenai barisan kesebelasan utama.

Harimau Selatan tiba di Australia dengan misi membawa pulang tiga mata sekaligus memastikan slot ke pusingan 16 terakhir ACLE lebih awal, berbaki dua perlawanan lagi. Berbekalkan momentum cemerlang dengan sembilan kemenangan berturut-turut dan rekod 11 aksi tanpa kalah di peringkat domestik serta Asia, JDT kini berada di prestasi terbaik.

Bidoglio menyedari pertembungan dengan wakil Australia itu bukan tugas mudah, namun mahu pasukannya kekal fokus dan bersedia menghadapi cabaran sengit.

“Esok bakal menjadi aksi penting buat JDT, tetapi kami perlu fokus kepada diri sendiri kerana ACLE amat penting buat kelab dan pemain,” katanya dalam sidang media.

Beliau turut mengakui bahawa semua pemain yang dibawa ke Australia berada dalam keadaan terbaik, menjadikan pemilihan kesebelasan utama satu cabaran buatnya.

“Kesemua pemain dalam keadaan baik, jadi sukar untuk saya membuat pilihan kerana memiliki skuad yang terbaik. Namun, saya masih ada satu hari lagi untuk membuat keputusan,” tambahnya.

Perlawanan Central Coast Mariners vs JDT dijadualkan berlangsung pada Selasa, 11 Februari, dengan sepak mula pada jam 4 petang waktu Malaysia. Peminat pastinya mengharapkan JDT meneruskan rentak kemenangan dan pulang dengan keputusan positif dari bumi Australia.

artikel berkaitan

ARTIKEL TERBARU