Apple secara rasmi melancarkan iPhone 16e, menggantikan iPhone SE sebagai model paling mampu milik dalam barisan iPhone terkini. Dengan pelancaran ini, Apple kini telah sepenuhnya beralih ke USB-C, sekaligus menamatkan era sambungan Lightning, termasuk di pasaran Malaysia. Laman web Apple Malaysia juga mengeluarkan iPhone 14 dan iPhone SE daripada senarai jualan, menjadikan iPhone 16e sebagai model paling murah yang ditawarkan.
Dari segi spesifikasi, iPhone 16e hadir dengan cip Apple A18, menyokong teknologi Apple Intelligence, dilengkapi modem Apple C1 untuk sambungan lebih stabil, serta memiliki butang Action Button seperti model premium. Namun, ia tidak menyokong MagSafe, yang mungkin mengecewakan sesetengah pengguna.
Dengan harga RM2,999 untuk model asas 128GB, iPhone 16e RM800 lebih mahal berbanding iPhone SE 2022 yang dijual pada harga RM2,199. Persoalannya, adakah harga ini berbaloi?
Jika dibandingkan, iPhone 16e menawarkan cip lebih berkuasa, skrin Super Retina XDR lebih baik, serta sokongan AI baharu yang tidak terdapat pada iPhone SE. Namun, peningkatan harga ini mungkin membuatkan pengguna yang mencari iPhone bajet perlu berfikir dua kali sebelum membeli.
Adakah iPhone 16e pilihan terbaik? Jika anda mahukan teknologi terkini dengan sokongan jangka panjang, ya, ia berbaloi. Namun, jika bajet menjadi faktor utama, mungkin ada pilihan lebih baik di pasaran. Apa pendapat anda?
