Selasa, November 4, 2025

JDT Terus Gah di Liga Super dan Piala Malaysia

Kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) terus membuktikan keunggulan mereka di Liga Malaysia dengan ketajaman jentera serangan yang sukar dibendung lawan. Ketika ini, JDT mendahului carta Liga Super dengan 52 mata selepas 17 perlawanan, meninggalkan pencabar terdekat, Selangor, dengan jurang 13 mata.

Pasukan milik DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor, turut meraih kejuaraan Piala FA musim ini selepas menewaskan Selangor pada Ogos lalu di Stadium Nasional Bukit Jalil. Kini, mereka semakin hampir ke final Piala Malaysia dengan kelebihan empat jaringan menjelang aksi separuh akhir kedua menentang Terengganu.

Di peringkat Asia, JDT mempamerkan prestasi cemerlang dengan berada di kedudukan ke-6 AFC Champions League Elite (ACLE) dan masih berpeluang mara ke pusingan 16 terbaik. Rekod jaringan JDT sepanjang musim ini juga luar biasa dengan 117 gol dalam semua kejohanan, sama ada di peringkat domestik mahupun antarabangsa.

Statistik yang dikongsikan Johor Southern Tigers menunjukkan keupayaan JDT untuk menjaringkan gol secara konsisten sepanjang tempoh 90 minit permainan. Dalam 15 minit pertama, mereka telah menjaringkan 12 gol, diikuti 16 gol antara minit ke-16 hingga ke-30, dan 19 gol dalam baki 15 minit babak pertama. Momentum ini berterusan di separuh masa kedua dengan 17 gol pada awal permainan, meningkat ke 23 gol, sebelum mencapai puncak dengan 30 jaringan dalam 15 minit terakhir.

Ujian seterusnya buat JDT adalah pertembungan separuh akhir kedua Piala Malaysia menentang Terengganu pada Sabtu ini, dengan sepak mula dijadualkan pada jam 5.30 petang. Kejayaan dalam perlawanan ini akan membawa mereka selangkah lebih dekat untuk melengkapkan satu lagi musim gemilang dalam sejarah kelab.

artikel berkaitan

ARTIKEL TERBARU