DBKL Sita 12 Gerai Tanpa Lesen & Skuter Sewa di Bukit Bintang

2032

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah menjalankan operasi menyita 12 gerai penjaja tanpa lesen serta skuter elektrik untuk sewaan di sekitar Bukit Bintang dalam usaha mengawal aktiviti perniagaan tidak berlesen di kawasan tumpuan pelancong.

Menurut kenyataan DBKL, operasi ini dilaksanakan oleh Jabatan Penguatkuasaan dan Pejabat Cawangan Bukit Bintang di beberapa lokasi utama seperti Jalan Ampang, Jalan P Ramlee, Jalan Pinang, dan Jalan Bukit Bintang.

“Dalam operasi khas ini, sebanyak 12 kes tindakan sita telah diambil berdasarkan peruntukan Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974. Antara barangan yang disita termasuk meja dan kerusi plastik, pakaian, skuter, payung, serta peralatan lain,” jelas kenyataan DBKL.

Semua barangan yang disita telah dibawa ke Setor Sitaan Jalan Lombong, Taman Miharja, Cheras untuk tujuan dokumentasi dan rekod.

DBKL turut menegaskan bahawa pemantauan dan tindakan penguatkuasaan akan terus dilakukan secara berkala di kawasan tumpuan bagi memastikan tiada perniagaan haram beroperasi secara bebas.

Orang ramai yang mempunyai aduan atau maklumat berkaitan boleh menyalurkannya menerusi laman web rasmi DBKL di https://adukl.dbkl.gov.my.