Google kini telah membuang frasa larangan penggunaan AI untuk senjata dan sistem pengawasan, yang sebelum ini menjadi sebahagian daripada prinsip pembangunan AI mereka sejak 2018. Perubahan ini disedari oleh Bloomberg selepas kemas kini dasar syarikat itu dilakukan semalam.
Langkah ini mengingatkan kembali kontroversi Project Maven, di mana kakitangan Google sebelum ini membantah kerjasama dengan tentera Amerika Syarikat untuk menganalisis data dron. Tekanan pekerja ketika itu menyebabkan Google memasukkan larangan penggunaan AI dalam bidang ketenteraan. Namun, perubahan dasar terkini menunjukkan Google kini lebih terbuka terhadap penggunaan AI dalam sektor ini, seiring dengan pesaing mereka seperti OpenAI yang telah bekerjasama dengan syarikat pembuat dron kamikaze Anduril.
Google juga menerima kecaman daripada aktivis hak asasi manusia selepas 28 pekerja mereka dibuang kerja kerana memprotes Projek Nimbus, iaitu kerjasama awanan antara Google dan Israel. Projek ini dikritik kerana dikatakan digunakan oleh rejim Zionis untuk memantau dan mengumpul data warga Palestin secara haram.
Keputusan Google ini menandakan perubahan besar dalam hala tuju syarikat terhadap penggunaan AI, khususnya dalam sektor ketenteraan dan pengawasan global.
