Jawatankuasa Disiplin FIFA mengenakan hukuman berat terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain warisan Harimau Malaya selepas didapati melanggar Artikel 22 Kod Disiplin FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen.
Pemain yang terlibat ialah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomás Garcés, Rodrigo Julián Holgado, Imanol Javier Machuca, João Vitor Brandão Figueiredo, Jon Irazábal Iraurgui dan Hector Alejandro Hevel Serrano.
Kes ini tercetus selepas perlawanan kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam pada 10 Jun lalu, apabila FIFA menerima aduan mengenai status kelayakan beberapa pemain tersebut. Hasil siasatan, FIFA mengesahkan wujud pelanggaran serius dan menjatuhkan hukuman seperti berikut:
- FAM didenda CHF 350,000 (kira-kira RM1.8 juta).
- Setiap pemain dikenakan denda CHF 2,000 (sekitar RM10,500 seorang).
- Semua tujuh pemain digantung 12 bulan daripada sebarang aktiviti bola sepak.
Selain itu, status kelayakan mereka untuk terus mewakili Malaysia kini dirujuk kepada Tribunal Bola Sepak FIFA untuk tindakan lanjut.
FIFA turut memberi tempoh 10 hari kepada FAM dan pemain terbabit untuk mengemukakan rayuan rasmi.
Keputusan ini dijangka memberi kesan besar kepada skuad Harimau Malaya yang sedang dalam persiapan menghadapi saingan antarabangsa, sekali gus menimbulkan persoalan tentang masa depan pemain warisan dalam kancah bola sepak negara.

