Cristiano Ronaldo sekali lagi mencipta sejarah apabila menandatangani kontrak baharu selama dua tahun bersama kelab Liga Pro Saudi, Al-Nassr, dengan nilai yang dikatakan paling lumayan dalam sejarah sukan – mencecah £492 juta (RM2.85 bilion).
Kontrak luar biasa ini menyaksikan penyerang legenda Portugal itu menerima gaji asas harian sekitar £488,000 (RM2.8 juta), satu angka yang mengatasi mana-mana pemain dalam sejarah sukan profesional dunia. Ronaldo turut diberikan bonus menandatangani kontrak sebanyak £24.5 juta (RM142.2 juta), yang boleh meningkat kepada £38 juta (RM220.6 juta) sekiranya tahun kedua kontrak diaktifkan.
Menurut laporan akhbar The Sun, Ronaldo juga dilantik sebagai ‘duta impian’ Arab Saudi – satu peranan strategik yang dijangka menjana pendapatan tambahan, menjadikan jumlah keseluruhan bernilai lebih £500 juta (RM2.9 bilion) dalam tempoh dua tahun akan datang.
Sebagai tambahan, Ronaldo turut menerima 15% pegangan saham dalam Al-Nassr, bernilai sekitar £33 juta (RM191.5 juta), serta insentif tambahan melalui bonus kejuaraan dan anugerah seperti Kasut Emas.
Walaupun musim lalu berakhir tanpa sebarang trofi, Ronaldo kekal cemerlang dengan 35 gol dalam 41 perlawanan dan muncul penjaring terbanyak Liga Pro Saudi untuk musim kedua berturut-turut. Setakat ini, beliau telah menjaringkan 99 gol dalam 111 penampilan untuk Al-Nassr dan kini menghampiri impian peribadinya untuk mencapai 1,000 gol sepanjang karier.
Spekulasi sebelum ini menyebut beliau mungkin meninggalkan kelab selepas kapsyen misteri “bab ini sudah tamat” di media sosial. Namun, Ronaldo menamatkan teka-teki itu dengan mengesahkan penyambungan kontrak bersama Al-Nassr melalui satu hantaran di platform X:
“Bab baharu bermula. Semangat yang sama, impian yang sama. Mari cipta sejarah bersama.”
Dengan usia yang menjangkau 40 tahun, Cristiano Ronaldo membuktikan bahawa usia bukan penghalang untuk terus mencipta impak dan nilai luar biasa, sama ada di padang atau di luar padang.
