Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyuarakan keyakinannya terhadap skuad Harimau Malaya yang bakal berdepan Vietnam pada aksi tumpuan Kelayakan Piala Asia 2027, dijadual berlangsung pada 10 Jun ini.
Dalam sidang media bersama rakan sejawatnya dari Vietnam, Pham Minh Chinh pada 25 Mei lalu, Anwar mengakui kekuatan pasukan Vietnam, namun percaya Malaysia kini tampil dengan persiapan rapi dan semangat yang tinggi di bawah bimbingan ketua jurulatih baharu, Peter Cklamovski.
“Vietnam mempunyai pasukan yang hebat, seperti yang anda tahu, mereka sangat kuat. Ia akan menjadi perlawanan yang sukar, tetapi kami mempunyai pasukan yang penuh semangat dan kekuatan, bersedia untuk menunjukkan diri mereka,” ujar Anwar.
Dalam nada berseloroh, Anwar turut berkata, “Jika pasukan Malaysia menang, saya akan hubungi dia (Perdana Menteri Pham Minh Chinh). Jika tidak, saya akan tidur.”
Malaysia kini membawa harapan baharu dengan kehadiran beberapa pemain naturalisasi dan warisan yang beraksi di luar negara seperti Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, dan Jon Irazabal. Kehadiran mereka dijangka menyuntik kekuatan baharu dalam usaha mencipta kejutan ke atas Vietnam.
Vietnam pula tidak kurang hebatnya, dengan menambah pertahanan kiri berpengalaman, Jason Pendant, sebagai pemain warisan dalam pasukan mereka.
Untuk rekod, kali terakhir Malaysia mencatat kemenangan ke atas Vietnam adalah pada tahun 2014 dalam kempen Piala AFF. Sejak itu, Harimau Malaya belum lagi menewaskan The Golden Star Warriors, dengan hanya satu keputusan seri direkodkan.
Pertembungan kali ini bukan sahaja menjadi tumpuan peminat tempatan, tetapi juga mengundang perhatian seluruh Asia Tenggara, yang ternanti-nanti sama ada Malaysia mampu memecah kebuntuan hampir satu dekad tanpa kemenangan ke atas Vietnam.
Segala perhatian kini tertumpu kepada aksi 10 Jun ini — mampukah Malaysia bangkit sebagai pencabar utama serantau, atau adakah Vietnam akan terus mengukuhkan dominasi mereka?
