Presiden Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Malaysia, Datuk Seri Rosli Sulaiman, mendedahkan bahawa aktiviti menjual tapak bazar Ramadan kepada pihak ketiga berlaku dalam kalangan peniaga sendiri secara suka sama suka, tanpa penglibatan persatuan penjaja.
Menurut laporan Sinar Harian, kegiatan ini sudah lama berlaku, khususnya di lokasi strategik seperti Lorong Masjid India, Kuala Lumpur. Harga tapak yang dijual semula boleh mencecah sehingga RM30,000, bergantung kepada lokasi dan jenis jualan.
“Tapak yang dijual biasanya untuk kategori jualan barang kering seperti pakaian dan perhiasan, bukan tapak makanan,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa peniaga yang terlibat menggunakan pelbagai helah bagi mengaburi pihak penguat kuasa. Salah satu taktik utama ialah meletakkan nama pihak ketiga sebagai pembantu di tapak perniagaan.
“Peniaga asal akan meletakkan nama pihak ketiga sebagai pembantu bagi mengelakkan dikesan. Secara teknikalnya, pembantu ini adalah pemilik sebenar perniagaan, sementara tuan asal tapak hanya bertindak sebagai tunggul di lokasi,” jelasnya.
Taktik ini menyukarkan pihak berkuasa untuk mengesan dan mengambil tindakan terhadap pihak yang terlibat dalam aktiviti penjualan tapak secara haram.
Pendedahan ini membuktikan bahawa masih ada kelemahan dalam sistem pengurusan tapak bazar yang perlu diperbaiki bagi memastikan tapak niaga diberikan kepada peniaga yang benar-benar layak dan bukannya dijadikan sebagai peluang keuntungan oleh pihak tidak bertanggungjawab.
