Selasa, November 4, 2025

Pindaan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 Berkuat Kuasa 11 Februari

Pindaan terhadap Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) mula berkuat kuasa pada 11 Februari 2025 selepas diwartakan pada 7 Februari lalu.

Kementerian Komunikasi memaklumkan bahawa pindaan ini bertujuan mewujudkan ekosistem Internet yang lebih selamat dan lestari, sekali gus memberikan perlindungan lebih baik kepada pengguna, terutama kanak-kanak dan keluarga.

Persidangan Dewan Rakyat pada 9 Disember 2024 meluluskan Rang Undang-Undang Komunikasi dan Multimedia (Pindaan) 2024 melalui undi belah bahagi, dengan 59 Ahli Parlimen menyokong, 40 menolak, seorang berkecuali, dan 122 tidak hadir.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, ketika menggulung perbahasan menyatakan bahawa Seksyen 233 di bawah Akta 588 tidak dimansuhkan bagi mengelakkan penyalahgunaan rangkaian, khususnya untuk tujuan komersial seperti penjualan pornografi dan eksploitasi kanak-kanak.

Selain itu, pindaan Seksyen 211 hanya terpakai kepada pemegang lesen Pemberi Perkhidmatan Aplikasi Kandungan (CASP), dengan denda diselaraskan mengikut perkembangan semasa.

Pindaan ini juga memperuntukkan hukuman lebih berat bagi kesalahan terhadap kanak-kanak berumur 18 tahun ke bawah, dengan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda RM500,000, atau kedua-duanya sekali.

artikel berkaitan

ARTIKEL TERBARU