Selasa, November 4, 2025

Kicap Hup Teck Ditutup Selepas Lebih 100 Tahun, Pemilik Tidak Menyesal

Pada Tahun Baharu Cina yang lalu, perniagaan Kicap Hup Teck yang telah beroperasi selama lebih 100 tahun akhirnya ditutup. Pemiliknya, Low Bak Tong, yang kini berusia 72 tahun, mengambil keputusan untuk ‘pencen’ dan mengakhiri legasi keluarganya tanpa rasa kesal.

Beliau merupakan generasi kedua yang meneruskan perniagaan selepas ayahnya, Low Kong, meninggal dunia pada tahun 1983. Dalam satu temu bual bersama BFM Radio, Low menjelaskan bahawa keputusan menutup perniagaan itu dibuat tanpa ragu-ragu kerana baginya, tiada keperluan untuk meneruskannya lagi.

Beliau juga tidak mencari pewaris kerana bisnes ini hanya dijalankan dalam kalangan ahli keluarga. Malah, ahli keluarga muda yang bekerja dengannya turut mengambil keputusan untuk berhenti selepas mengetahui niatnya untuk bersara.

Low mengakui bahawa menggajikan pekerja luar adalah cabaran besar. Beliau lebih yakin menjalankan operasi hanya dengan ahli keluarga kerana bimbang risiko terhadap kualiti produk. Baginya, menjaga kualiti kicap adalah lebih penting daripada keuntungan semata-mata.

Low juga tidak pernah terfikir untuk menjual perniagaan ini. Jika ada pihak berminat untuk membeli, beliau tetap tidak akan menjual resepi dan teknik pembuatan kicap turun-temurun yang diasaskan oleh ayahnya.

Ramai pelanggan tetap Hup Teck berasa kecewa dan terkejut apabila mengetahui berita ini. Mereka menyifatkan kicap Hup Teck sebagai unik dengan aroma pekat yang tidak dapat digantikan oleh jenama lain. Ada pelanggan yang cuba membeli dalam jumlah banyak untuk simpanan, namun stok sudah habis.

Selepas bersara, Low merancang untuk meluangkan masa bersama rakan-rakannya di sekitar Gopeng, selain ingin berkunjung ke Australia untuk bertemu adiknya. Baginya, hidup perlu diteruskan dan dia mahu menikmati hari-hari mendatang dengan tenang.

artikel berkaitan

ARTIKEL TERBARU