Selasa, November 4, 2025

JDT Bantu Malaysia Lonjak Dua Tangga dalam AFC MA Ranking

Kejayaan Johor Darul Ta’zim (JDT) menewaskan Central Coast Mariners bukan sahaja mengukuhkan kedudukan mereka dalam AFC Champions League Elite (ACLE), tetapi turut membantu Malaysia melonjak dua anak tangga dalam kedudukan AFC MA Ranking.

Dalam aksi yang berlangsung di Gosford, Australia, JDT turun dengan misi penting membawa pulang tiga mata. Dua jaringan daripada pertahanan baharu, Alvaro Gonzalez, memastikan kemenangan ketiga Harimau Selatan dalam kejohanan ini.

Berdasarkan kemas kini oleh laman Footy Rankings, kemenangan ini menyumbang tambahan +11.333 mata kepada Malaysia, menjadikan jumlah keseluruhan 35.861 mata. Malaysia kini berada di kedudukan kelima bagi kategori Asia Timur, memintas Australia dengan perbezaan tipis 0.237 mata dan menyebabkan Vietnam jatuh ke tangga ketujuh.

Kedudukan ini amat penting bagi mengekalkan slot automatik Malaysia ke ACLE dan ACL2 untuk musim 2026/27, bergantung kepada prestasi cemerlang wakil negara dalam kejohanan kelab Asia.

Walaupun berjaya melonjak dalam kategori Asia Timur, Malaysia masih berada di tangga ke-12 keseluruhan Asia, dengan Jordan kini berada di kedudukan ke-11.

JDT bakal menghadapi perlawanan penting terakhir peringkat liga ACLE apabila menerima kunjungan Pohang Steelers pada 18 Februari di Stadium Sultan Ibrahim, perlawanan yang bakal menentukan hala tuju mereka di kejohanan ini.

artikel berkaitan

ARTIKEL TERBARU