Grab kini dalam perbincangan bersama syarikat induk Gojek, GoTo, bagi menyatukan kedua-dua syarikat di bawah satu entiti menjelang 2025. Walaupun rundingan telah berlangsung beberapa kali, tiada keputusan muktamad dicapai setakat ini.
Sekiranya penyatuan ini berjaya dengan kelulusan pihak berkuasa, ia dijangka dapat mengurangkan kerugian akibat persaingan antara kedua-dua jenama. Selain itu, Grab dan Gojek turut disokong oleh pelabur yang sama, Softbank, dan sedang berusaha mencapai keuntungan secepat mungkin.
Namun, masih terdapat kemungkinan perbincangan ini tidak membuahkan hasil, bergantung kepada persetujuan kedua-dua pihak dan cabaran dari sudut kawal selia. Jika berjaya, penggabungan ini bakal memberi impak besar kepada industri e-hailing dan penghantaran makanan di rantau Asia Tenggara.
