Selasa, November 4, 2025

Asmawi Bakiri Mahu Harimau Malaya Beraksi di Stadium Sultan Ibrahim

Bekas pemain bola sepak kebangsaan, Asmawi Bakiri, menyatakan sokongannya agar skuad Harimau Malaya memilih Stadium Sultan Ibrahim (SSI) sebagai venue bagi aksi pertama Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Nepal pada 25 Mac ini.

Pada asalnya, perlawanan dijadualkan berlangsung di Kathmandu, namun laporan Astro Arena menyebut bahawa stadium Nepal masih belum bersedia, membuka peluang untuk Malaysia beraksi di laman sendiri. Ini menimbulkan persoalan mengenai pemilihan venue antara Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) dan Stadium Sultan Ibrahim (SSI).

Menurut Asmawi, bermain di gelanggang sendiri merupakan kelebihan besar bagi Malaysia untuk mengutip tiga mata penuh pada aksi pembukaan. Beliau menekankan kepentingan memanfaatkan peluang ini untuk mendapatkan permulaan yang positif dalam kempen kelayakan.

“Saya rasa ini peluang besar untuk kita dapatkan tiga mata awal serta mengumpul jaringan yang baik kerana kita bermain di tempat sendiri,” katanya kepada Astro Arena.

Asmawi juga menegaskan bahawa SSI adalah pilihan terbaik kerana ia mencerminkan usaha revolusi bola sepak negara yang banyak dipacu oleh DYAM Tunku Ismail.

“Saya lebih tertarik memilih SSI kerana kita sedia maklum bahawa antara pengurusan baharu pasukan negara datangnya daripada idea DYAM Tunku Ismail. Jadi, untuk memberi gambaran bahawa persediaan ini serius dan penting, sesuai bermain di SSI,” tambahnya.

Sehingga kini, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai venue perlawanan Malaysia menentang Nepal. Namun, dengan kelebihan fasiliti bertaraf antarabangsa dan infrastruktur moden di SSI, ia dilihat sebagai pilihan ideal untuk memastikan Harimau Malaya mendapat permulaan terbaik dalam saingan kelayakan.

artikel berkaitan

ARTIKEL TERBARU