Selasa, November 4, 2025

8 Tahun Tragedi KLIA2: Pembunuhan Kim Jong-nam yang Masih Berteka-teki

Hari ini menandakan genap lapan tahun sejak pembunuhan Kim Jong-nam, abang tiri kepada pemimpin tertinggi Korea Utara, Kim Jong-un, di KLIA2 pada 13 Februari 2017.

Kim Jong-nam dilahirkan pada Mei 1971, sebagai anak sulung Kim Jong-il dengan seorang perempuan simpanan. Kelahirannya dirahsiakan, terutama daripada datuknya, Kim Il-sung, yang merupakan pemimpin tertinggi Korea Utara ketika itu. Setelah mendapat pendidikan di Moscow dan Geneva, Jong-nam pulang ke Pyongyang pada usia 18 tahun dan diberikan jawatan dalam sektor komputer negara.

Namun, setelah dibuang negara pada 2003, Jong-nam menetap di Macau dan sering mengkritik pemerintahan keluarganya. Sejak Kim Jong-un mengambil alih kuasa pada 2011, Jong-nam mengakui bahawa dirinya tidak lagi selamat.

Pembunuhan di KLIA2

Pada 13 Februari 2017, selepas bercuti di Langkawi, Kim Jong-nam tiba di KLIA2 sekitar 9 pagi untuk penerbangan pulang ke Macau. Ketika berada di terminal, beliau diserang oleh dua wanita, yang dipercayai menyembur dan menekap mukanya dengan kain yang mengandungi bahan kimia.

Jong-nam melaporkan insiden itu kepada pihak keselamatan sebelum dikejarkan ke klinik lapangan terbang kerana mengalami kesakitan dan peluh berlebihan. Dia tidak sedarkan diri dan akhirnya disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya.

Suspek dan Perbicaraan

Beberapa hari selepas kejadian, dua wanita ditahan:

  • Doan Thi Huong (warga Vietnam)
  • Siti Aisyah (warga Indonesia)

Kedua-duanya mengaku tidak bersalah, mendakwa bahawa mereka diupah oleh empat lelaki untuk melakukan aksi sebagai ‘prank video’ tanpa mengetahui bahawa bahan kimia yang diberikan kepada mereka adalah ejen saraf VX, sejenis senjata kimia berbahaya.

Pada Mac 2019, Siti Aisyah dibebaskan selepas pertuduhan terhadapnya digugurkan, manakala Doan Thi Huong dijatuhkan hukuman penjara 3 tahun 4 bulan sebelum dibebaskan lebih awal pada Mei tahun sama.

Sehingga kini, empat suspek lelaki yang didakwa terlibat masih tidak dikenali dan tidak dapat dikesan, meninggalkan banyak persoalan yang belum terjawab mengenai motif sebenar pembunuhan ini.

artikel berkaitan

ARTIKEL TERBARU